
KOTA KINABALU – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menyerahkan seekor anjing pengesan dadah (K9) kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dadah di negeri ini.
Pengerusi Pemadam Sabah, Datuk James Ratib berkata, anjing berkenaan kini sedang menjalani latihan di Bukit Aman selama empat bulan sebelum dihantar ke Sabah.
“Pengasuh anjing ini turut dihantar dari Sabah ke Kuala Lumpur dan sebaik anjing ini selesai dilatih, ia akan dihantar balik ke negeri ini untuk menjaga pintu masuk sempadan Sabah.
“kos perbelanjaan keseluruhan untuk anjing pengesan adalah agak tinggi iaitu anggaran harga seekor anjing adalah RM80,000 tidak termasuk perbelanjaan penjagaan berterusan yang lebih besar.
“kita juga perlu menambah anjing pengesan ini untuk ditempatkan di pintu-pintu masuk Sabah terutamanya di lapangan terbang Sandakan, Tawau, Labuan dan Kota Kinabalu,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan anjing K9 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Isnin.
James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, amat penting untuk menempatkan anjing K9 di pintu masuk khususnya di lapangan terbang memandangkan lokasi itu sering dijadikan laluan penyeludupan dadah termasuk melalui perkhidmatan kurier.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Sabah dapat mempertimbangkan penambahan bilangan anjing pengesan K9 melalui bantuan bersama Pemadam selain akan membangkitkan keperluan sehingga enam ekor K9 pada mesyuarat Kabinet akan datang.





