PERAK terus memacu kecemerlangan pendidikan apabila melancarkan Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030, yang menjadi dokumen hala tuju menyeluruh untuk menjamin pendidikan anak negeri lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan itu menjadi garis panduan utama kepada semua agensi pelaksana bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan bergerak seiring dan selaras dengan keperluan semasa.
Menurutnya, empat kluster utama dikenal pasti di bawah pelan berkenaan iaitu pendidikan awal, rendah dan menengah; pengajian tinggi; pendidikan wanita, keluarga dan Orang Kurang Upaya (OKU); serta pendidikan tahfiz dan ikhtisas.
“Kluster pendidikan awal, misalnya, menumpukan aspek literasi dan numerasi, manakala kluster pendidikan wanita membuka peluang kebolehupayaan ekonomi keluarga, khususnya ibu tunggal.
“Kesemua kluster ini diperkukuh dengan sepuluh domain teras termasuk pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kebolehpasaran graduan, pembelajaran digital serta transformasi TVET.
“Dengan kerangka menyeluruh ini, pendidikan di Perak dapat bergerak seiring dengan cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) 2.0 Bersama Cikgu Saarani serta Pelancaran Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di Ipoh, pada Isnin.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan; serta Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba’ai.
Saarani menambah, pelan itu turut mempersiapkan anak-anak Perak dengan kemahiran teknikal dan insaniah untuk merebut peluang pekerjaan yang bakal wujud melalui pelaksanaan projek mega di negeri ini.
JNBA 2.0 telah dianjurkan di 12 daerah melibatkan 6,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbahagi kepada dua kumpulan sasaran iaitu potensi cemerlang dan potensi lulus.
Pelan tersebut dihasilkan melalui kajian, sesi libat urus, dan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Yayasan Perak, Jabatan Pendidikan Negeri, Institut Darul Ridzuan (IDR), selain disokong Universiti Putra Malaysia (UPM).





