
SEMALAM Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan kerja selama 11 hari ke luar negara, demi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap sikap barbarik Israel dalam melayani rakyat Palestin.
Selain berkisar kepada isu Palestin, Perdana Menteri juga mengambil peluang mencari pelaburan baharu untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Selepas 11 hari merentasi tiga benua, berjumpa dan bermesyuarat bersama pimpinan utama dari pelbagai negara, segala kesungguhan itu akhirnya mendapat markah D daripada Bersih.
Dan markah itu juga, kata Bersih, merujuk kepada apa yang dilakukan Kerajaan Madani selepas dua tahun mendapat mandat kuasa.
Adakah markah itu boleh dikira sebagai adil atau ia hanyalah sekadar cubaan Bersih untuk menegur Anwar dan pasukan Kabinet supaya lebih menumpukan terhadap usaha melaksanakan pelbagai reformasi dijanjikan.
Seperti kebiasaan, Anwar yang memang diakui memiliki jiwa yang besar tidak terus melatah atas penilaian diberikan Bersih.
Beliau ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini secara jelas mengatakan bahawa markah D itu seperti ujian di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala dalam ‘peperiksaan’ seterusnya, pasukan Kabinet Kerajaan Perpaduan bakal memperoleh markah atau gred A.
Begitulah Anwar seperti dikenali ramai rakan politik – sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang – yang sentiasa mencari jalan toleransi dalam memberikan reaksi balas.
Bagi beliau, setiap pandangan dan kritikan dilontarkan perlu diteliti dan diambil tindakan segera untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang masih ada.
Jika kita melihat kepada bentuk penilaian dibuat Bersih, secara umumnya ia adalah pandangan kritis dan wajar diambil peduli.
Namun, untuk menyalahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani, adalah tidak adil kerana ia membabitkan gabungan pelbagai faktor lain.
Antara yang paling utama adalah perbezaan ideologi dan kepentingan mewakili pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan itu sendiri.
Cabaran ini sudah dan sedang diatasi secara cermat oleh Anwar dibantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusuf.
Selepas dua tahun, perbezaan dan pertembungan ideologi ini semakin dapat dikawal walaupun masih belum berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Adalah penting untuk mematahkan sebarang perbezaan yang masih ada bagi mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini.
Seterusnya, Kerajaan Madani juga berdepan cabaran dan masalah diwarisi pentadbiran terdahulu dan ini termasuklah kadar hutang negara yang tinggi.
Dan sudah tentu selepas kira-kira 40 tahun, banyak perkara dan masalah yang kompleks perlu diselesaikan.
Perkara ini memerlukan masa untuk dibaiki, memerlukan tempoh yang agak panjang dan sistematik supaya sebarang langkah diambil tidak mencipta bebanan baharu kepada pentadbiran Madani.
Begitulah juga dalam menangani masalah lapuk dalam sistem pendidikan negara, sistem sedia ada sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran perlu dinilai semula.
Langkah kerajaan memperkenalkan aliran TVET adalah antara reformasi awal dalam sektor pendidikan.
Ia bertujuan mencipta modal insan berkemahiran tinggi supaya dapat menerima upah lebih bermaruah.
Paling menjadi perhatian adalah reformasi institusi membabitkan penjawat awam sebagai tulang belakang penting dalam menentukan kejayaan segala agenda ditetapkan Kerajaan Madani.
Sudah tentu barisan penjawat awam berintegriti dan setia kepada kerajaan hari ini, akan mempercepatkan usaha reformasi mencapai objektif.
Kerajaan Madani dan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengalah hanya disebabkan penilaian ‘separuh penggal’ dibuat Bersih.
Banyak lagi usaha sedang berjalan demi memastikan segala kebimbangan rakyat, termasuk membabitkan kos sara hidup terus giat dilakukan.
Proses ‘pembersihan’ dalam pelbagai agensi terus berjalan bagi mengatasi masalah ketirisan hasil yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Jika ada yang menuduh Kerajaan Madani tidak melaksanakan reformasi dijanjikan, maka ia adalah satu tuduhan yang tidak benar dan boleh dipersoalkan.
Dan sebagai warga Malaysia yang cintakan kestabilan dan kesejahteraan, penilaian dengan markah D hanyalah permulaan kepada proses untuk bangkit semula dan mencapai kejayaan lebih cemerlang dalam ‘peperiksaan’ akan datang.




