KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan supaya sesi taklimat media secara berkala diadakan berhubung pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan akibat laporan tidak sahih.
“Saya mengalukan-alukan kenyataan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) pada Jumaat. Dalam isu ini, kementerian yang bertanggungjawab ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan saya difahamkan sesi taklimat telah dibuat dengan beberapa media.
“Tetapi, saya akan sarankan supaya taklimat secara berkala dan kerap diadakan supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Datum bersempena Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2026 di The Linc KL, di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dilaporkan menggesa organisasi media di kedua-dua negara memperkukuh naratif harmoni selain mencadangkan agar kerajaan Malaysia dan Indonesia menyediakan taklimat khas kepada pengamal media.
Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dalam kenyataan bersama berkata pelaporan media perlu berasaskan sumber rasmi kedua-dua negara, di samping mengamalkan pendekatan berimbang, berhemah dan mengikut konteks.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, isu berkenaan turut melibatkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) daripada aspek teknikal persempadanan serta penentuan sempadan negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil maklum pandangan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo yang menyatakan terdapat laporan tidak tepat berhubung isu berkenaan sebelum ini.
“Jadi, di situ saya lihat ada keperluan untuk pihak NRES memastikan maklumat tepat sampai, terutamanya kepada media Malaysia supaya tidak timbul isu yang mungkin boleh mengakibatkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Foto: Bernama



