Bersatu Pahang, pemilihan dan pelan kompromi

PEMILIHAN Bersatu yang diadakan di semua Bahagian seluruh negara secara rasmi sudah berakhir hujung minggu lalu.

Seperti dijangka, pasukan ‘kompromi’ seperti dicadangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden.

Datuk Seri Hamzah Zainudin sah jadi Timbalan Presiden, manakala Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Ronald Kiandee pula Naib Presiden.

Bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja, yang ‘turun pangkat’ pula dipilih Naib Presiden walaupun pada awalnya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dilihat lebih layak dipilih ke jawatan itu.

Namun, itulah dia ‘pelan kompromi’ Muhyiddin yang mahu menjaga hati Peja, sedangkan bekas Menteri Besar Perak itu bukanlah seorang pemimpin yang disukai ramai ahli akar umbi parti.

Apa yang berlaku sepanjang minggu lalu itu sudah boleh dikira sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti berkenaan.

Cuma yang menariknya, apa yang berlaku dalam Bersatu Pahang dalam tempoh sama, seperti menggambarkan parti itu ada masalah di Pahang.

Awalnya, Bersatu Bahagian Cameron Highlands digantung pemilihan dan perkara itu dimaklumkan Hamzah selaku Setiausaha Agung parti pada 2 November lalu.

Ketua Bersatu Bahagian Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali ketika dihubungi memaklumkan keputusan penggantungan itu adalah untuk memberi ahli Bahagian berkenaan ‘berehat’ sebelum mengadakan pemilihan bulan depan.

Sehari sebelum itu, Bendahari Bersatu Pahang, Datuk Roslan Hassan mengumumkan keluar parti.

Beliau adalah Ketua Bersatu Bahagian Bentong dan pengumuman itu juga bersekali dengan pembubaran jawatankuasa parti itu.

Roslan dalam sidang media ketika membuat pengumuman itu berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pucuk pimpinan tidak cermat, tidak teliti dan gagal memahami pendirian serta keputusan yang dibuat di peringkat Bahagian.

Bagaimanapun, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus memaklumkan pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Roslan mengenai tindakannya itu.

Mohd Yazid adalah Ahli Dewan Undangan Negeri penggal pertama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Lepar untuk penggal pertama dan Ketua Bersatu Bahagian Paya Besar.

Beliau kekal sebagai Ketua Bersatu Bahagian itu pada pemilihan hujung minggu lalu.
Pemilihan paling menarik adalah Bahagian Indera Mahkota yang disandang Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Pada pemilihan minggu lalu, beliau menang dengan majoriti 24 undi, menewaskan pencabarnya, Khairul Amilin Abdullah Shukor.

Khairul Amilin adalah bekas Ketua Armada Bahagian Indera Mahkota pada penggal sebelum ini.

Walaupun usahanya untuk ‘menyingkirkan’ Saifuddin tidak berhasil, namun kebanyakan penyokong anak jati Indera Mahkota itu beranggapan kekalahan tipis dicatatkan pada pemilihan berkenaan adalah bukti ‘penolakan’ terhadap Saifuddin.

Bahkan, ramai ahli Bersatu Bahagian Indera Mahkota menganggap Saifuddin adalah ‘pemimpin yang tidak boleh dipercayai’ dan berpotensi menjadi pengkhianat apabila dalam keadaan terdesak.

Ini merujuk kepada pembabitan Saifuddin dalam ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

Dengan segala kekusutan dalam kem Bersatu Pahang selepas pemilihan berlangsung baru-baru ini, sudah tentu parti terbabit memerlukan lonjakan baharu untuk memperkukuhkan kembali kekuatan gabungan PN di Pahang.

Kalau Bersatu Pahang tidak mampu memulihkan hubungan antara ahli akar umbi pasca pemilihan, parti gabungan PN seperti Pas dan Gerakan berdepan cabaran untuk merampas Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

Related Posts

Selat Melaka bukan milik retorik: Realiti undang-undang vs politik populis

DESAKAN agar Selat Melaka ‘bebas sepenuhnya daripada pengaruh kuasa luar’ mungkin kedengaran patriotik, malah mudah meraih sokongan emosi. Namun hakikatnya, naratif sebegini berisiko mengelirukan rakyat jika tidak berpijak pada fakta…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sifarkan miskin tegar: Kerajaan Pas Kedah kini bercanggah dengan fitrah

KENYATAAN terbaharu seorang Adun Pas tentang usaha kerajaan negeri dalam mencapai kadar sifar miskin tegar di Kedah menjadi bahan sindiran. Ia susulan pendirian berbeza oleh wakil rakyat parti itu sebelum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebakaran besar musnahkan 200 rumah atas air

Kebakaran besar musnahkan 200 rumah atas air

Kerajaan sedia RM28.8 juta untuk pembangunan industri halal

Kerajaan sedia RM28.8 juta untuk pembangunan industri halal

Penamatan kontraktor projek kolam renang awam undang persoalan

Penamatan kontraktor projek kolam renang awam undang persoalan

Fahmi cadang taklimat berkala isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

Fahmi cadang taklimat berkala isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi