
Oleh: Husna Irdina (Pelatih UPM)
PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan sedang mengadakan perbincangan koordinasi bersama kerajaan Mesir berhubung usaha penghantaran pulang warga Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia pada Oktober lalu untuk tujuan perubatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, proses perbincangan koordinasi itu masih berjalan dan kaedah penghantaran pulang warga Palestin itu akan diselaras oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri.
“Kaedah penghantaran pulang warga Palestin sama ada melalui Mesir atau jalan lain akan ditentukan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri, dan keputusan perbincangan itu akan dimaklumkan kemudian.
“Tapi proses ini sedang berjalan dan masih sama, segala perkhidmatan perubatan yang diberi akan terus disediakan dan pihak kerajaan memandang serius dari segi kebajikan bagi mereka yang telah dibawa untuk tujuan perubatan di Malaysia,” katanya pada Sidang Media Pasca Kabinet di sini, pada Rabu.
Terdahulu pada Sabtu, tular beberapa video di media sosial memaparkan warga Palestin itu merosakkan peralatan, pasu bunga serta membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing.
Susulan itu, punca insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) disebabkan mereka mahu proses permohonan untuk kembali ke negara asal dipercepatkan.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan insiden itu berlaku pada jam 5 petang Sabtu.
“Kekecohan dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
“Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat,” katanya.








