
Oleh: Alif Abd Aziz
SEKIJANG, 19 April 2026 – Kerajaan terus komited memperkukuh kefahaman rakyat terhadap isu krisis tenaga global menerusi pendekatan komunikasi bersemuka yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha mendekati rakyat melalui program seperti Jiwa MADANI menjadi medium penting bagi memastikan maklumat tepat dapat disampaikan secara terus kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, dalam suasana dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan harga tenaga, rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas agar tidak timbul salah faham terhadap dasar serta langkah kerajaan.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan mudah difahami, khususnya dalam berdepan isu krisis tenaga global yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jiwa MADANI yang berlangsung di NADI Felda Medoi, di sini, hari ini.
Program selama 45 minit itu memberi fokus kepada penerangan isu semasa termasuk kenaikan harga minyak global serta cabaran penyeludupan diesel ke negara jiran yang memberi tekanan kepada sistem subsidi negara.
Dalam Majlis ini, Fahmi turut menegaskan bahawa penyeludupan diesel perlu ditangani secara bersepadu oleh semua agensi berkaitan bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Beliau juga menyarankan agar Jabatan Penerangan Malaysia terus memperkukuh pendekatan turun padang dengan melibatkan komuniti setempat bagi memastikan penyampaian maklumat lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Program tersebut turut membuka ruang komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa yang dihadapi negara.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pendekatan komunikasi secara langsung akan terus diperkasa sebagai sebahagian usaha kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa mendapat gambaran sebenar mengenai situasi ekonomi dan tenaga global.
“Pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkukuh bagi memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat kekal rapat, telus serta berkesan dalam menghadapi cabaran semasa,” ujarnya.
Beliau menambah, kerjasama semua pihak termasuk komuniti amat penting dalam memastikan setiap dasar yang dilaksanakan dapat difahami dan diterima dengan baik oleh rakyat.








