
TAWAU – Sebanyak RM350 subsidi sebulan disediakan Kerajaan Sabah kepada ibu bapa yang menghantar anak berkeperluan khas autisme untuk tetapi ke Pusat Autisme Sabah (PAUS).
Pembantu Menteri Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, usaha itu bagi membantu meringankan beban ibu bapa memandangkan yuran bulanan melebihi RM600 sebulan.
“Kerajaan memberi subsidi sebanyak RM350, ibu bapa hanya perlu membayar RM300 untuk yuran penjagaan anak mereka selama sebulan di Pusat berkenaan.
“Kewujudan PAUS sebagai perintis, ibu bapa boleh mengambil peluang untuk membawa anak mereka membuat terapi yang sewajarnya dalam memberi penjagaan yang terbaik untuk anak mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Autisme Sedunia di Hospital Tawau, pada Isnin.

Menurut Rina yang juga ADUN Kukusan, PAUS yang beroperasi di Sri Stella, Air Panas kini menempatkan lebih 30 kanak-kanak autisme dan dijangka menerima pertambahan.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap autisme yang juga menjadi agenda utama kementerian untuk membantu ibu bapa.
“Kita boleh lihat semakin banyak peningkatan autisme dalam kalangan kanak-kanak dan ada ibu bapa yang tahu, ada ibu bapa yang punya ilmu, ada juga yang tidak mempunyai akses kepada pendedahan kepada isu autisme ini.
“Ada juga yang tidak menyangka dan masih lagi dalam peringkat penafian bahawa anak mereka normal dan sebagainya.
“Jadi ini juga antara satu kempen terbesar kita meningkatkan kesedaran dan pendedahan pada mereka,” ujarnya.






