
PUTRAJAYA – Sebanyak 52 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna perkhidmatan rangkaian telekomunikasi di Malaysia sudah menikmati manfaat daripada rangkaian 5G di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tahun ini, Kementerian Komunikasi bukan sahaja telah berjaya melengkapkan rangkaian 5G malah turut meningkatkan jumlah pengguna rangkaian 5G melebihi 52 peratus pengguna di seluruh negara.
“Ini angka yang sangat-sangat baik kalau nak dibandingkan dengan setahun yang lalu,” katanya selepas ditemui pemberita semasa Perhimpunan Bulan Disember Kementerian Komunikasi di sini pada Selasa.
Fahmi berkata, antara pencapaian yang turut membanggakan juga ialah melibatkan kejayaan kementerian dalam menyelesaikan beberapa masalah yang melanda Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa pertama yang menelan belanja sehingga RM5.15 bilion dan Projek Point of Presence (POP) sebelum ini.
“Banyak daripada masalah ini tidak mampu kita lakukan atau selesaikan tanpa usaha sama yang baik bukan hanya di pihak kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) malah juga dalam kalangan pembina menara yang kita panggil bahagian pertama dan juga penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) iaitu bahagian kedua.
“Jadi banyak lagi yang masih kita perlu kita selesaikan setiap telco masing-masing ada jumlah menara yang perlu mereka ‘on air’ (beroperasi) menjelang satu-satu tempoh, tarikh akhir untuk menyiapkan keseluruhan Projek Jendela fasa satu ialah Jun 2025,” katanya.
Jelas beliau, manakala bagi Projek POP yang bakal memberi manfaat sambungan rangkaian di lebih 4,000 buah sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara masih lagi berada dalam fasa pertama.
“Projek POP fasa pertama telah selesai yang melibatkan mungkin dalam 700 buah sekolah manakala baki 3,000 lebih sekolah lagi sedang dalam proses untuk dilaksanakan.
“Saya telah minta Datuk Ketua Setiausaha (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk meneliti sekiranya ada mana-mana projek POP yang lewat maka perlu diambil tindakan yang tegas kerana ini adalah duit rakyat yang mana semua penyedia ini mereka ada garis masa yang telah mereka janjikan dan ditandatangani dalam kontrak, diteliti dan kita nak pastikan projek-projek seperti ini selesai dengan segera,” katanya.
Tambah Fahmi, MCMC turut diminta untuk meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana menara yang rosak dan tidak dapat beroperasi akibat banjir.
“Saya juga minta MCMC meningkatkan cara mereka memantau menara-menara yang rosak atau tidak aktif akibat banjir, tambahan juga saya minta persiapan untuk tahun hadapan dimulakan awal dengan menaik taraf menara-menara yang dalam beberapa tahun kebelakangan sering terkesan akibat banjir.
“Banyak berlaku di negeri Kelantan sebagai contoh di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang yang berdekatan dengan Sungai Golok yang kita lihat sering berlaku banjir dan ada beberapa perkara lain yang telah saya sampaikan, niat kita adalah untuk pastikan matlamat objek bagi pihak kementerian dapat kita capai bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengimbas kembali lawatan ke salah satu tapak menara Jendela di Labis, Johor yang kurang memuaskan.
“Kalau saya tidak pergi tengok sendiri, ia mungkin akan jadi seperti mana ia dahulu, dan bila bertanya kepada syarikat tersebut, kenapa digunakan wayar atau pagar yang agak asas seperti ini untuk lebih kurang menjaga satu tapak yang sangat sensitif, dia kata dalam kontrak diserahkan kepada syarikat untuk buat keputusan itu.
“Jadi saya kata ini tidak wajar kita belanjakan jumlah yang besar untuk membina dan mengaktifkan menara ini jadi saya minta dikaji semula pertama terutama lokasi-lokasi yang selalu berlaku vandalisme, kita lihat di Sarawak, Sabah, Pahang dan ahli Parlimen sering bangkitkan masalah vandalisme.
“Maka saya minta supaya menara Jendela sebagai permulaan perlu dinaik taraf pagarnya terutama dengan ‘anti climb fence’ dan kedua dengan kawat berduri… jadi kita nak lebih teratur dan saya juga telah minta kita selesaikan perkara ini segera sebelum kita bincang pasal Jendela fasa 2,” ujarnya.





