ARAU – Pemilihan tapak dan pembinaan sekolah baharu seharusnya melihat aspek ‘lebih selamat’ bagi mengelakkan risiko gangguan bencana alam seperti banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia berikutan premis pendidikan itu sering dijadikan pusat perlindungan kepada penduduk setempat sekiranya terjadi sesuatu bencana.
“Perhatian kita kepada adalah apabila berlaku banjir dan perubahan iklim, ia memberi gangguan kepada sistem pendidikan dan kesan langsung kepada guru dan murid.
“Lokasi tersebut perlu berada di tempat tinggi dan selamat serta perlu mewujudkan rasa selamat dalam kalangan warga pendidik serta pelajar,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, aspek penyelenggaraan pasca banjir juga perlu diberi perhatian dan disegerakan bagi mewujudkan kembali persekitaran yang kondusif kepada guru dan murid.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai langkah diambil Kementerian Pendidikan menangani perubahan iklim di negara ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis penyerahan dua blok bangunan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau menempatkan asrama baharu, dewan makan, dua buah surau, rumah warden bernilai RM19 juta sekaligus membolehkan semua pelajar dapat menginap tanpa perlu menumpang asrama sekolah lain.





