KANGAR – Pembinaan Negara MADANI tidak boleh sekadar bertumpu kepada pembangunan fizikal, sebaliknya perlu berteraskan nilai akhlak, ilmu dan kekuatan dalaman umat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep MADANI yang diperjuangkan menekankan asas agama (din) sebagai teras untuk membina kota, negeri dan tamadun.
“Negara yang membangun mesti mengutamakan nilai dan akhlak, bukan sekadar mengejar kemajuan material tanpa sempadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020 di sini pada Ahad.
Menurut beliau, budaya pembacaan, pemahaman dan penghayatan Al-Quran perlu dijadikan dasar utama dalam membina kekuatan umat dan Negara MADANI.
Katanya, umat Islam perlu segera memperkukuhkan penguasaan ilmu agama, penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani cabaran dunia moden.
“Kalau tidak, kita akan ketinggalan dan hanya menjadi pemerhati dalam perubahan besar dunia ini,” katanya.
Anwar turut menegaskan pentingnya membina daya tahan ekonomi dalaman (domestic economic resilience) supaya negara tidak mudah terkesan dengan krisis global.
Beliau mengingatkan bahawa kekuatan dalaman melibatkan pengukuhan akidah, akhlak, urus tadbir yang cekap dan budaya pentadbiran yang berintegriti.






