KANGAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping dimulakan tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan projek pembangunan di Perlis.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar pembentangan keutamaan pembangunan negeri oleh Menteri Besar Perlis dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri di Pejabat Pembangunan Negeri Perlis hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan juga mahu segera menyelesaikan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu dengan menyerahkannya kepada syarikat milik kerajaan yang lebih berkeupayaan.
“Saya arahkan pembinaan semula SK Chuping dimulakan tahun ini dan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan,” katanya.
Dalam mesyuarat tersebut, Anwar menegaskan semua jentera kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri perlu mempercepatkan kelulusan serta pelaksanaan projek tanpa lagi dibelenggu kerenah birokrasi.
Beliau turut mengarahkan agensi-agensi kerajaan memperketatkan pemantauan pelaksanaan projek dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melengah-lengahkan pelaksanaan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Menteri Besar Perlis turut membentangkan beberapa keutamaan lain termasuk pembangunan Pelabuhan Sanglang, naik taraf kolam takungan banjir Chuping, serta inisiatif pelancongan dan pendidikan negeri.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Perlis memerlukan pendekatan lebih kreatif dan berani untuk memecah kebuntuan agar dapat membina benteng ekonomi yang lebih berdaya tahan di negeri itu.
“Jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri harus berani berfikir di luar kerangka lama untuk mempercepat penyelesaian masalah rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan ekonomi dalaman negara mesti dibina segera dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dunia termasuk kesan dasar tarif yang diumumkan Amerika Syarikat.



