
GAZA – Rejim Israel melancarkan operasi darat secara besar-besaran di utara dan selatan Semenanjung Gaza pada Khamis sehingga menyebabkan kematian berpuluh-puluh rakyat Palestin, di tengah-tengah serangan baharu selepas perjanjian gencatan senjata ke atas wilayah itu.
Rejim mendakwa bahawa pasukannya bersama pasukan keselamatan dalaman Shin Bet telah menyerang infrastruktur Hamas di Beit Lahia sebelum memulakan serangan darat.
“Dalam beberapa jam kebelakangan ini, pasukan kami telah memulakan operasi darat di kejiranan Shaboura di Rafah, memusnahkan beberapa sasaran infrastruktur tanpa memperjelaskan objektif pencerobohan darat di Rafah.
“Tentera telah memperluaskan aktiviti ketenteraannya di selatan Semenanjung Gaza, sambil meneruskan operasi di bahagian utara dan tengah Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Puluhan rakyat Palestin terbunuh dan cedera pada malam Rabu serta awal pagi Khamis akibat pengeboman berterusan oleh Israel ke atas pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza.
Wartawan WAFA melaporkan bahawa tujuh rakyat Palestin terbunuh apabila tentera pendudukan Israel menyerang rumah keluarga Abu Deeb di Bani Suhaila.
Lapan lagi turut terbunuh apabila rumah keluarga Abu Daqqa di Abasan al-Kabira menjadi sasaran serangan.
Menurut wartawan WAFA, beberapa individu terbunuh dalam serangan ke atas rumah Abdul Rahman al-Majayda di Miraj, lapan terbunuh dalam serangan ke atas rumah keluarga Abu Daqqa, dan tiga lagi maut apabila rumah keluarga al-Amour diserang di bandar al-Fakhari.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepuluh orang terbunuh apabila tentera pendudukan Israel menyerang rumah keluarga Jabr di kawasan Musabah, timur Rafah, manakala tujuh lagi maut dalam serangan ke atas sebuah rumah di kejiranan al-Sultan, barat Beit Lahia.
Rabu lalu, rejim Israel berkata ia telah memulakan operasi darat secara yang memfokuskan kepada kawasan di bahagian tengah dan selatan Gaza untuk memperluaskan zon penampan di kawasan tengah Gaza.
Pada Khamis, tentera Israel melarang rakyat Palestin daripada menggunakan Jalan Salah al-Din, laluan yang sebelum ini ditetapkan sebagai jalan selamat antara utara Gaza dan selatan.
Serangan bertalu-talu Israel sejak Selasa telah mengorbankan lebih 700 rakyat Palestin dan lebih 900 lagi cedera dalam serangan udara mengejut Israel ke atas Gaza, sekali gus menghancurkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang mula berkuat kuasa pada Januari.
Tentera pendudukan Israel telah menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada awal pagi Selasa lalu, selepas lebih dua bulan berhenti.
Penyambungan semula serangan ke atas Gaza menimbulkan kebimbangan terhadap kemerosotan situasi kemanusiaan di wilayah itu, terutama akibat kepungan berterusan serta pemutusan bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera pendudukan Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian lebih daripada 48,572 rakyat Palestin, majoritinya kanak-kanak dan wanita, serta mencederakan 112,032 orang. Sejumlah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.






