
LIMBANG – Sebahagian struktur bumbung dan siling di Klinik Kesihatan Kuala Medalam mengalami kerosakan teruk selepas dilanda angin kencang dalam satu kejadian, baru-baru ini.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan, insiden tersebut menjejaskan beberapa bahagian utama klinik termasuk ruang menunggu pesakit luar (OPD) serta blok farmasi baharu.
Hasil pemeriksaan dan penilaian yang dijalankan mendapati kerosakan bukan sahaja melibatkan struktur atap dan siling, malah turut memberi kesan kepada perabot, bekalan ubat-ubatan, peralatan elektrik serta sistem pendawaian bangunan.
Beliau memaklumkan, keluasan kawasan yang terjejas dianggarkan sekitar 97.2 meter persegi.
“Walaupun kerosakan yang berlaku agak serius, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pihak JBPM menasihatkan semua kakitangan klinik agar lebih berhati-hati ketika menjalankan kerja pemindahan barangan perubatan memandangkan keadaan struktur bangunan masih belum stabil dan berpotensi membahayakan.
Tinjauan ke lokasi turut dilakukan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, bersama ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.




