PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga akhir tahun 2025, satu pendirian berbeza dengan bank pusat utama dunia yang kini cenderung memotong kadar faedah masing-masing.
Berdasarkan analisis Bank Islam, keputusan BNM tidak mengubah OPR adalah petanda keyakinan terhadap kekuatan dan daya tahan ekonomi domestik Malaysia.
Pendirian ini disokong beberapa faktor utama, termasuk dasar kerajaan yang menyokong, kadar inflasi rendah dan pasaran buruh teguh dengan kadar pengangguran berada pada paras terendah sejak April 2015 iaitu 3.0 peratus.
Kekuatan dalaman ini terbukti melalui data ekonomi suku kedua 2025 menyaksikan pertumbuhan KDNK yang mampan pada 4.4 peratus, dipacu perbelanjaan swasta meningkat 5.3 peratus dan lonjakan pelaburan 12.1 peratus.
Pendirian BNM dijangka berbeza dengan bank pusat Amerika Syarikat, The Federal Reserve (Fed), yang dijangka akan memotong kadar faedahnya pada mesyuarat September depan.
Pasaran kini meletakkan kebarangkalian setinggi 85 peratus untuk Fed menurunkan kadar faedah utamanya berikutan tanda-tanda pasaran buruh semakin perlahan di AS.
Tindakan berbeza antara BNM dan Fed ini memberi kesan positif langsung kepada nilai Ringgit.
Penganalisis menyatakan bahawa Ringgit akan terus mendapat manfaat daripada jangkaan pengecilan perbezaan kadar faedah antara kedua-dua negara.
Apabila kadar faedah AS menurun manakala kadar di Malaysia kekal, ia menjadikan Ringgit lebih menarik di mata pelabur, sekali gus menyokong pengukuhannya berbanding Dolar AS.






