
PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) akan melaksanakan pelarasan perbelanjaan kerajaan susulan peningkatan beban subsidi akibat konflik di Asia Barat, namun memberi jaminan perkhidmatan kritikal kepada rakyat serta kestabilan ekonomi tidak akan terjejas.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MoF memaklumkan garis panduan telah disalurkan kepada semua kementerian dan agensi bagi menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global serta peningkatan komitmen subsidi kerajaan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber Kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
“Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi,” katanya.
Terdahulu, laporan media menyatakan Perbendaharaan telah mengarahkan kementerian serta agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi susulan kesan konflik di Asia Barat.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, Pejabat Belanjawan Negara telah diarahkan menyemak semula baki anggaran perbelanjaan di bawah Belanjawan 2026.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 hanya memperuntukkan RM15 bilion bagi subsidi, iaitu pengurangan besar berbanding tahun sebelumnya, sedangkan subsidi bahan api sahaja mencecah RM38 bilion pada 2023.
Bagaimanapun, katanya jumlah keseluruhan subsidi Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM58.4 bilion bagi tahun ini berikutan kesan rantaian konflik Iran serta krisis tenaga global.
Katanya, semua kementerian, jabatan dan agensi perlu meneliti semula perbelanjaan operasi masing-masing bagi baki tahun ini sebagai langkah penjimatan.
Antara langkah dicadangkan termasuk pengurangan gaji dan elaun bagi jawatan yang masih kosong, pemotongan 10 peratus bagi perbelanjaan perkhidmatan, bekalan dan aset serta pengurangan 20 peratus terhadap bajet badan berkanun persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin kerajaan.
Semua kementerian, jabatan dan agensi diberi tempoh sehingga 15 Mei ini untuk mengemukakan semakan bajet masing-masing kepada Pejabat Belanjawan Negara.





