
ISKANDAR PUTERI – Negeri Johor terus mengorak langkah sebagai hab digital utama Asia Tenggara apabila projek pusat data JHB1 milik Digital Halo mencapai satu lagi pencapaian penting menerusi majlis “topping out” yang berlangsung hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han, berkata majlis tersebut menandakan siapnya fasa struktur utama bagi pusat data pertama Digital Halo di Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor sebagai destinasi strategik ekonomi digital.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Digital Halo atas kejayaan ini, sambil menegaskan bahawa pencapaian tersebut bukan sekadar kemajuan fizikal projek, tetapi simbol kepercayaan terhadap masa depan Johor dan Malaysia dalam landskap ekonomi digital global.
“Ini adalah lebih daripada sekadar pencapaian pembinaan. Ia mencerminkan keyakinan terhadap Johor, Malaysia, dan masa depan ekonomi digital di rantau ini,” katanya.
Sebagai pengendali pusat data berskala besar berpangkalan di Singapura, keputusan Digital Halo untuk melabur di Iskandar Puteri dilihat sebagai bukti kukuh peningkatan peranan Johor sebagai pintu masuk digital strategik di Asia Tenggara.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan berhampiran Singapura, pembangunan ini berada dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang sedang pesat berkembang. Kedudukannya yang strategik menjadikan ia sebahagian daripada ekosistem ekonomi rentas sempadan yang bakal mentransformasikan operasi perniagaan di rantau ini.
Apabila siap sepenuhnya, kampus pusat data ini dijangka menawarkan kapasiti IT sehingga 170 megawatt merangkumi kawasan lebih 82,000 meter persegi, menjadikannya antara pembangunan infrastruktur digital terbesar di Malaysia. Fasa pertama projek ini dengan kapasiti 20 megawatt dijangka mula beroperasi menjelang suku keempat tahun 2026.

Menurut Lee, projek ini mencerminkan komitmen Johor dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berorientasikan masa depan.
“Ia bukan sekadar tentang infrastruktur, tetapi membina ekosistem yang membolehkan penggunaan teknologi seperti pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan inovasi generasi baharu,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan ini dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik syarikat teknologi global serta memperkukuh ekosistem inovasi di negeri ini.
Johor turut menawarkan kelebihan daya saing termasuk jaringan perhubungan yang kukuh, bekalan tenaga yang stabil dan mampan, serta persekitaran perniagaan mesra pelabur dengan sokongan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Dalam masa sama, komitmen Digital Halo terhadap pembangunan lestari turut dipuji, selaras dengan keutamaan Johor dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Lee menegaskan visi Johor untuk muncul sebagai hab ekonomi dan digital terkemuka di Asia Tenggara, dengan projek seperti ini dilihat sebagai pemangkin utama yang menggabungkan aspek keterhubungan, bakat, inovasi dan kelestarian dalam satu ekosistem bersepadu.
Melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan agenda pembangunan Maju Johor 2030, negeri ini bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi juga membuka ruang peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa projek pusat data ini akan disiapkan dengan jayanya dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan berimpak tinggi di Johor pada masa akan datang.






