
KUCHING – Lembaga Koko Malaysia (LKM) terus mengorak langkah meningkatkan pengeluaran koko negara dengan menganjurkan Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan bagi Wilayah Sarawak yang berlangsung di Kuching, semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Cheah Chee Fong yang mewakili Ketua Pengarah LKM.
Program berkenaan dihadiri 94 peserta terdiri daripada syarikat perladangan, pengusaha individu, kelompok petani serta wakil agensi kerajaan berkaitan. Ia bertujuan memberi penerangan berhubung insentif penanaman koko dan potensi besar industri tersebut.
Harga koko dunia kini melonjak tinggi apabila purata harga biji koko kering meningkat 141 peratus kepada RM24,274 per tan metrik pada 2024 berbanding RM10,073 tahun sebelumnya. Situasi itu sekali gus menjadikan koko antara tanaman komoditi yang berdaya saing dan mampu menjana pulangan lumayan.
Menurut LKM, Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan akan berlangsung dari 2025 hingga 2030 dengan peruntukan RM550,000 setahun. Antara insentif ditawarkan ialah 5,000 anak pokok koko berkualiti bernilai RM50,000, selain khidmat teknikal, latihan amali dan pemantauan berterusan.
Setakat ini, syarikat perladangan di Malaysia telah mengusahakan tanaman koko seluas 360 hektar. Melalui program tersebut, LKM menyasarkan tambahan keluasan tanaman koko sebanyak 2,750 hektar dalam tempoh lima tahun.
“Peranan sektor perladangan amat penting dalam memastikan pengeluaran koko negara dapat ditingkatkan secara mampan, selain menyokong hasrat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar koko premium dan biji koko ‘single origin’ yang kini mendapat tempat di pasaran dunia,” kata LKM dalam kenyataan.




