
KOTA KINABALU – Inisiatif pembangunan Grid Tenaga Borneo dan Grid Tenaga ASEAN disaran mencontohi model penyambungan kuasa Eropah yang terbukti mampu dilaksanakan melalui kerjasama merentas sempadan tanpa bergantung sepenuhnya kepada satu blok politik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ke arah pembentukan grid tenaga serantau itu sebenarnya telah pun dimulakan, namun sehingga kini masih belum wujud satu rangka kerja kerjasama rasmi yang melibatkan kesemua 11 negara anggota ASEAN.
“ASEAN tidak perlu mencipta model baharu, sebaliknya boleh meneliti pendekatan penyambungan kuasa di Eropah, di mana kerjasama tenaga bukan sahaja melibatkan negara-negara dalam eropah.
“Pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN memerlukan pertimbangan menyeluruh termasuk aspek perundangan serta kepentingan nasional setiap negara yang terlibat,” ujarnya.
Beliau berkata semasa sidang media selepas berucap di Majlis Rasmi Energization of Sarawak-Sabah Power Grid Interconnection Project di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Sabtu,
Jelasnya, Sabah dan Sarawak sudah mempunyai sambungan tenaga, selain jaringan sedia ada di Kalimantan dan dalam masa terdekat akan membekalkan tenaga kepada Brunei, sekali gus membentuk teras kepada Grid Tenaga Borneo.
“Kerjasama tenaga turut dipersetujui dari Sabah dan Sarawak ke selatan Filipina, selain persetujuan untuk membekalkan tenaga kepada Singapura, yang menandakan asas kepada pembentukan Grid Tenaga ASEAN.
“Walaupun kebanyakan kerjasama tenaga ketika ini masih bersifat dua hala, ASEAN perlu membangunkan satu rangka kerja pelbagai hala bagi memastikan pembangunan grid tenaga serantau dapat dilaksanakan secara tersusun,” ujarnya.








