RPTM 2026–2035: Menangani keciciran, memperluas peluang belajar di Sabah

KOTA KINABALU – Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dilihat sebagai pelan strategik penting dalam memperkukuh pendidikan tinggi negara, khususnya bagi menangani isu keciciran pelajar dan memperluas peluang pembelajaran di Sabah.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam RPTM amat relevan memandangkan Sabah berdepan cabaran geografi, jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital serta peningkatan kos sara hidup.

“Keadaan geografi yang luas, jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital, kos sara hidup yang meningkat serta keperluan sebahagian pelajar untuk bekerja lebih awal.

“Faktor-faktor ini menyebabkan sebahagian pelajar tercicir atau tidak dapat meneruskan pengajian walaupun telah menerima tawaran.

“Keadaan ini menuntut sistem pendidikan tinggi di Sabah dirangka dengan lebih fleksibel dan inklusif, selari dengan realiti setempat supaya peluang pendidikan dapat dikekalkan,” katanya.

Menurut beliau, penekanan terhadap kemenjadian siswa dalam RPTM penting bagi memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dan melahirkan graduan berdaya saing, khususnya melalui sokongan menyeluruh melibatkan aspek akademik, kewangan, psikososial dan kebajikan.

“Pengenalan Academic Bank Credits (ABC) turut dikenal pasti sebagai antara mekanisme penting untuk menangani isu keciciran.

“Melalui fleksibiliti pembelajaran merentas institusi, mod dan tempoh pengajian, pelajar dibenarkan menangguhkan pengajian sementara tanpa kehilangan laluan akademik.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada pelajar di negeri ini menyeimbangkan komitmen keluarga, pekerjaan dan pembelajaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kasim berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pendidikan inklusif terus diperkukuhkan.

“Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pengecualian yuran pengajian kepada kira-kira 3,000 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti, selain peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar.

“Langkah bersasar ini amat signifikan bagi Sabah bagi memastikan kekangan ekonomi tidak terus menjadi punca keciciran dalam kalangan pelajar berpotensi,” kongsinya.

Beliau turut menekankan kepentingan sinergi antara Politeknik, Kolej Komuniti dan UMS dalam memperluas peluang pembelajaran melalui laluan pendidikan berperingkat.

“UMS komited menjayakan aspirasi RPTM 2026–2035 dengan pendekatan berteras Sabah agar tiada anak Sabah, termasuk golongan OKU dan keluarga miskin tegar, terpinggir daripada peluang pendidikan dan pembangunan diri,” katanya.

Related Posts

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

PADANG BESAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) mempertingkatkan kawalan di stesen minyak berhampiran sempadan negara menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Oleh: JASMINE AE, NANA MOHAMAD, HAFIQ HASSAN & HELDA JULIE KUCHING – Keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga bahan api diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sarawak disambut baik dan disifatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

Exco akui kelemahan semakan jersi

Exco akui kelemahan semakan jersi

Kes panggilan palsu bebankan sumber negara

Kes panggilan palsu bebankan sumber negara

Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Pegawai ladang didenda RM48,000, miliki bangkai haiwan dilindungi

Pegawai ladang didenda RM48,000, miliki bangkai haiwan dilindungi