
KOTA KINABALU – Pelaksanaan penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak menjadi langkah strategik memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah, sekali gus menyokong merealisasikan visi bersama BIMP-EAGA.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek itu akan meningkatkan kestabilan, kebolehpercayaan dan kemampanan bekalan elektrik serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta memperkukuh margin rizab tenaga negeri.
“Kerjasama dengan Sarawak bukan sahaja merangkumi bekalan elektrik merentasi sempadan, malah membentuk asas pembangunan tenaga serantau yang lebih bersepadu di Borneo.
“Interkoneksi Grid Sabah–Sarawak merupakan pencapaian penting ke arah merealisasikan visi BIMP-EAGA melalui pengukuhan infrastruktur tenaga rentas sempadan di bawah Grid Kuasa ASEAN, ianya juga meningkatkan keyakinan pelabur dan prospek ekonomi serantau,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Energization of Sarawak-Sabah Power Grid Interconnection Project di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.

Jelasnya, sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo serta membuka laluan hubungan tenaga masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan Filipina selatan.
“Kerajaan Negeri juga komited memastikan bekalan elektrik Sabah kekal stabil dan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” tegasnya.







