BERMULA Sabtu lalu, tirai kempen PRK Sungai Bakap telah pun dibuka.
Pesta demokrasi ini memberi peluang kepada pengundi kawasan ini memilih pemimpin baru selepas ia kosong disebabkan penyandangnya meninggal dunia.
Dalam pesta yang berlangsung selama 14 hari ini, pengundi hanya diberi dua pilihan iaitu memilih ‘cikgu’ atau pun ‘penyelia kilang’.
Itulah pilihan menu hidangan yang ditawarkan dua parti yang masuk gelanggang masing-masing mewakili Kerajaan Perpaduan dan pembangkang.
Bagaimana pun dua menu ini merupakan nasi kandar yang popular bagi pengundi sebagai makanan harian mereka.
Namun begitu, ia bukanlah pilihan yang sukar kerana mereka hanya perlu merasa dan memilih yang paling sedap.
Nasi dengan kuah banjir ditambah lauk seperti ayam goreng, sotong, kambing dan sebagainya sudah tentu amat menyelerakan hingga menjilat jari.
Sudah menjadi kelaziman walaupun menu sama tetapi rasanya tetap berbeza mengikut kedai.
Ada pelanggan bukan sahaja menilai berdasarkan tekak tetapi juga keselesaan dan servis yang ditawarkan di kedai.
Ada ketika, pekerja yang mengambil pesanan atau kemesraan tauke kedai lebih menarik perhatian berbanding kesempurnaan rasa masakan.
Demikianlah pilihan terbuka yang ditawarkan kepada pelanggan dari dalam dan luar Sungai Bakap.
Berbalik kepada soal memilih pemimpin, pengundi di sini juga diberi pilihan terbuka.
Ada Cikgu Joohari yang menawarkan latar belakang pendidikan yang tinggi dan pengalamannya dalam sektor awam.
Lawannya Abang Abidin pula berpengalaman sebagai penyelia kilang yang diuar-uarkan memiliki ISO 14001:2015 namun latarbelakang pendidikan terus menjadi tanya.
Kelebihan Cikgu Joohari yang merupakan calon nombor satu dari PH adalah beliau mewakili kerajaan.
Sudah tentu jika beliau dipilih banyak kelebihan yang diperoleh oleh pengundi Sungai Bakap.
Kekal sebagai pembangkang tidak memberi apa-apa kelebihan.
Jika dinilai secara umum boleh dibuat perbandingan bagaikan memilih antara kedai kandar yang diyakini sedap atau belum diketahui kualitinya.
Lebih baik makan di kedai yang diyakini sedap agar berasa berbaloi dengan harga yang dibayar.








