
SPAOH – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) menerusi Program K.A.W.A.N yang sebelum ini dikenali sebagai Key Communicator terus memperkukuh peranannya sebagai penghubung komunikasi antara kerajaan dan rakyat melalui penganjuran program turun padang bersama pelbagai agensi strategik.
Program yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Spaoh itu menghimpunkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat bagi mendapatkan penerangan secara terus mengenai pelbagai inisiatif kerajaan.
Antara agensi yang terlibat ialah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC Sarawak), mySalam dan NADI.
Dalam sesi penerangan, SEDC Sarawak berkongsi pelbagai peluang serta bantuan kepada usahawan termasuk sokongan pembangunan komersial, industri dan sosioekonomi negeri yang memberi tumpuan kepada agenda strategik menjelang 2030 seperti tenaga hijau, pelancongan premium dan pelaburan lestari.
Sementara itu, mySalam turut memberi penjelasan berkaitan perlindungan kesihatan untuk golongan B40 yang boleh dimanfaatkan rakyat dalam menghadapi cabaran kos rawatan kesihatan.
NADI pula memberi fokus kepada penerangan mengenai kempen internet selamat serta peranan pusat tersebut sebagai saluran maklumat digital yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
Seorang peserta program, Assna Jamali, 63, berkata agensi yang dijemput memberikan manfaat besar kepada komuniti yang hadir.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak JKOM kerana menjemput agensi yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
“Pada masa akan datang, program seperti ini boleh diteruskan dengan menjemput lebih ramai penduduk kampung supaya semua komuniti mendapat maklumat yang tepat,” katanya.
Manakala, Jaffar Sulaiman, 71, menyifatkan program itu sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dan agensi kerajaan.

“Program ini membuka ruang kepada kami untuk bertanya secara terus dan mendapatkan penjelasan. Banyak bantuan sebenarnya disediakan, cuma masyarakat perlu lebih peka dan mengetahui cara untuk memohon,” ujarnya.
Program K.A.W.A.N dilihat terus memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan sampai terus kepada akar umbi sekali gus memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan.
i





