NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail digesa bersikap jujur dan tidak berteka-teki berhubung status tempoh perkhidmatan beliau sebagai eksekutif logistik di sebuah syarikat luar negara yang telah bertapak di Malaysia.
Naib Presiden PKR, Chang Lin Kang berkata, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu perlu menunjukkan bukti bahawa beliau sememangnya bekerja di kilang tersebut sehingga 2022, dan bukannya pada 2020 seperti dakwaan yang tular di media sosial.
“Bagi saya salah satu ciri-ciri atau kualiti penting yang perlu ada sebagai seorang calon adalah kejujuran, di mana saya rasa apapun, penjelasan perlu dilakukan kerana sudah pun ditimbulkan isu tersebut.
“Orang (calon PN terlibat, sila tampil untuk beri penerangan secara terperinci. Tidak boleh duduk diam-diam sahaja sebab dia adalah calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK). Sebagai calon, kenalah jujur,” katanya ketika ditemui media pada ceramah perpaduan PRK DUN Sungai Bakap di Puteri Gunong, malam tadi.
Sebelum ini, majoriti netizen meluahkan tidak puas hati kepada Abidin selepas
pemimpin PAS itu membuat hebahan di Facebook tentang penutupan syarikat tersebut pada 2020.
Berdasarkan tangkap layar, beliau telah meluahkan rasa sedih selepas beberapa kakitangan USG Sdn Bhd diberhentikan akibat syarikat itu akan ditutup pada tahun tersebut.
Bagaimanapun, Abidin ketika ditemui media enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan dakwaan itu hanyalah naratif negatif bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap PN.
Dalam pada itu, Lin Kang memaklumkan, kerjasama parti-parti komponen di bawah ‘khemah’ Kerajaan Perpaduan ketika PRK yang memasuki hari keempat hari ini lebih erat, berbanding sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerjasama itu terjalin daripada pengalaman tujuh PRK sebelum ini di samping tidak wujud sebarang masalah antara parti di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Saya nampak BN pun bertungkus-lumus, DAP dan Amanah pun sama. Sekarang, kita mempunyai kerjasama yang sangat erat. Jadi, kita ‘strategise’ bersama dan mempunyai bilik gerakan bersama untuk PRK Sungai Bakap.
“Pada masa sama, rekod prestasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan calon PH merupakan anak jati Sungai Bakap merupakan antara kekuatan bagi kempen Kerajaan Perpaduan agar misi merampas kembali kerusi ini dapat tercapai,” katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin dan PH yang diwakili bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.








