
BERATOK – Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti Beratok 2026 yang berlangsung di Dewan Kampung Beratok, hari ini.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Antara pengisian utama program termasuk kaunter pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan pergigian, ujian pap smear, kempen derma darah, pembayaran cukai pintu serta Jualan Rahmah bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Dalam ucapannya, beliau berkata program seumpama itu amat penting dalam memastikan masyarakat sentiasa diberikan perhatian bukan sahaja dari aspek kesihatan, malah kesejahteraan hidup secara menyeluruh.
Beliau turut menghargai kerjasama semua agensi kerajaan, swasta dan komuniti yang bersama-sama menjayakan program berkenaan demi manfaat penduduk setempat.
“Melalui program sebegini, rakyat dapat menikmati pelbagai perkhidmatan secara terus termasuk pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah serta pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh hubungan komuniti selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan hidup sejajar dengan aspirasi pembangunan inklusif Sarawak.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek; Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari; Setiausaha Majlis Daerah Siburan, Hiu Kee Seng; Ketua Kaum Kampung Beratok, Lee Syiah Yih; Pengerusi Komuniti Hall Beratok merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Lai Kui Chong; Guru Besar SJKC Beratok, Aaron Chong; ahli-ahli Majlis Daerah Siburan, komuniti dewan serta penduduk dari kawasan sekitar.





