
KUANTAN – Pemuda UMNO Bahagian Bera berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap perkara dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan pembangunan dan kepentingan rakyat di negeri Pahang.
Ketua Pemudanya, Nashriq Ismail Sabri berkata, perkara disuarakan baginda wajar diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya, terutama dalam aspek pembangunan serta kepentingan rakyat.
“Saya menjunjung kasih ke atas titah kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang berhubung keperluan negeri Pahang yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaaan Persekutuan.
“Saya yakin setiap permintaan dan pandangan dikemukakan baginda bertujuan memastikan pembangunan negeri Pahang dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, Pahang adalah negeri yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara dengan kekuatan dalam sektor pelancongan, pertanian, sumber asli dan pelaburan yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Perhatian yang lebih besar kepada pembangunan negeri Pahang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Malah turut menyumbang kepada kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.





