KUANTAN – Pemuda UMNO Negeri Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, Jumaat lalu.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, titah baginda secara jelas merujuk kepada hak kedaulatan negeri Pahang.
“Prinsip federalisme diamalkan di Malaysia menuntut agar hak negeri dalam mengurus serta memanfaatkan sumber asli sendiri dihormati dan tidak dikesampingkan.
“Pengurusan eksport pasir sungai bukan sekadar soal penjanaan ekonomi semata-mata, malah ia adalah langkah teknikal bagi memastikan kelancaran sistem aliran sungai.
“Kegagalan menguruskan sedimen ini secara sistematik akan meningkatkan risiko banjir tahunan, yang akhirnya memberi impak sosioekonomi yang parah kepada rakyat Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Kamil turut mengharapkan Kerajaan Persekutuan melihat kepada kenyataan media dikeluarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan isu ini.
Katanya, pembekuan lesen eksport (AP) sejak 2019 mengakibatkan lambakan stok pasir sungai di Pahang, yang sepatutnya boleh menjana pendapatan sehingga RM500 juta untuk kerajaan Pahang.
“Saya fikir hal ini bukan hanya perlu dilihat sebagai pasir sungai sebagai komoditi semata-mata.
“Seharusnya satu pertemuan segera boleh diatur antara kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian untuk isu AP pasir sungai,” katanya.






