PUTRAJAYA – Semua pihak diseru untuk mengelak daripada memberi kenyataan terbuka di media sosial berhubung kejadian nahas melibatkan bas ekspres yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Isnin lalu.
Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan berpandangan, platform paling tepat bagi membicarakan kejadian kemalangan terbabit adalah mahkamah, bukannya di laman sosial.
Beliau berkata, ada pihak sudah mula menghukum pemandu tersebut selepas keterangan penumpang disiarkan pengamal media dengan ada menyatakan bas dipandu laju dan memotong di garisan berkembar dan sebagainya, walaupun pengusaha bas turut menyatakan bas diselenggara dengan baik.
“Naratif yang dibawa ialah pemandu memandu laju dan (jadi) punca kemalangan. Saya percaya apabila naratif ini dibuat maka pemandu bas pula ada hak untuk mengatakan sesuatu dan kenapa dia berbuat demikian.
“Maka pemandu mengatakan bas mengalami masalah brek dan bas melaju tanpa dapat dikawal. Adakah fakta ini sebenarnya berlaku? Saya tidak tahu. Kerana itu saya percayakan mahkamah bicara bagi mencari kebenaran.
“Tambahan pula, terdapat dalam kalangan penumpang seolah-olah telah mengiakan apa yang diberitahu oleh pemandu bas terbabit,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, beliau juga percaya nasihat polis kepada pemandu bas supaya tidak membuat kenyataan turut terpakai kepada semua termasuk penumpang bas.
Jelas beliau, dalam prinsip undang-undang, keadilan adalah terpakai terhadap semua sama ada kepada pemandu bas atau mangsa kemalangan.

“Di sini (media sosial), kita adalah pendakwaraya dan kita juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman.
“Di mahkamah nanti bukan setakat keterangan saksi-saksi penumpang bas malah saksi-saksi kenderaan lain yang ada di tempat kemalangan, yang merakam kemalangan dan pemandu bas akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Pakar dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan forensik yang memeriksa bas akan dipanggil memberi keterangan terutama melibatkan isu sama ada brek bas berfungsi dengan baik atau sebaliknya,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Muhammad Hasif, beliau berpandangan adalah lebih baik semua pihak menunggu perbicaraan kes tersebut di mahkamah yang mana orang ramai boleh mengikuti perbicaraannya dan mendengar keterangan dan bukti yang ada.
“Akhir sekali Tuan Majistret yang bijaksana akan membuat keputusan dengan adil dan saksama,” katanya.
Pada Isnin pagi lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan menyayat hati yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak.
Berita pilu itu membuatkan seluruh rakyat berdukacita dan apatah lagi ahli keluarga mangsa yang terlibat.




