GOMBAK – Kepemimpinan serta ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh terlalu selesa sehingga terleka dengan kedudukan sebagai pemerintah dan melupakan asal-usul perjuangan parti.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setiap pemimpin bermula dari akar umbi, Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang sehingga ke peringkat tertinggi perlu mengekalkan kestabilan dan kesatuan hati, biarpun parti itu menerajui pentadbiran Selangor sejak 2008.
Beliau berkata, setiap gerak-geri dan perilaku pemimpin parti kini sentiasa diperhatikan, dinilai dan diamati oleh rakyat.
“Sehubungan itu, pentingnya untuk setiap ahli menjadi pasukan yang responsif dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Jangan sesekali leka ataupun dibuai berada dalam kedudukan sebagai pemerintah. Kita mesti terus menggilap idealisme dan jangan benarkan bibit-bibit rasuah merasuki serta merosakkan semangat reformasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Gombak 2026, pada Ahad.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan Cabang PKR Gombak sebagai sebuah cabang yang sangat utuh dan kuat.
Beliau mengharaplan agar Gombak terus menjadi ‘beacon’ atau penyuluh kepada usaha membangunkan Selangor dan memperkukuhkan benteng parti daripada anasir yang cuba merosakkan keutuhan PKR.
“Saya berpesan seikhlas hati, kalau kita tidak menggunakan platform seperti ini untuk memberi sedikit peringatan, maka saya rasa culas dalam melaksanakan tugas.
“Kita semua mewakili pemimpin, bukan hanya Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), tetapi juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.




