MALAYSIA kekal sebagai rakan lama yang dipercayai dan dihargai oleh Rusia, dengan hubungan dua hala antara kedua-dua negara menunjukkan peningkatan momentum yang ketara, kata Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl M Latypov.
Dalam ucapannya pada majlis resepsi sempena Hari Kebangsaan Rusia yang berlangsung di ibu negara malam tadi, Latypov menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah mengadakan perbincangan yang menyeluruh dan bersifat konstruktif semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia baru-baru ini.
“Peningkatan dialog di peringkat tertinggi ini mencerminkan trend positif dalam hubungan dua hala kita. Kerjasama yang terjalin merangkumi pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, tenaga, pelancongan, pendidikan serta pertukaran budaya dan kemanusiaan.
“Saya berharap momentum ini akan terus berkembang dan memberikan lebih banyak manfaat kepada kedua-dua negara,” ujar beliau.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mewakili kerajaan Malaysia, serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau menegaskan bahawa hubungan Rusia–Malaysia berlandaskan prinsip saling menghormati dan matlamat untuk mencapai manfaat bersama.
Kedua-dua negara sentiasa berusaha memahami pandangan serta perspektif masing-masing sebagai rakan sejati.
“Perbincangan antara pemimpin kita mengenai isu serantau dan antarabangsa membuktikan bahawa pendirian Rusia dan Malaysia adalah selari. Kedua-dua negara sentiasa teguh mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa, kedaulatan negara, serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman.
“Kita juga bekerjasama secara berkesan dalam pelbagai platform multilateral termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Mengulas mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Latypov menzahirkan penghargaan Rusia terhadap hubungan dialog yang erat dengan pertubuhan serantau tersebut.
“Kepaksian ASEAN dibina atas asas keterangkuman, ketelusan, dan kesamaan dengan menghormati identiti serta kepentingan semua negara anggota,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai BRICS dan menyatakan komitmen Rusia dalam menyokong penyertaan Malaysia secara lancar dan berkesan dalam semua bentuk kerjasama di bawah platform berkenaan.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Rusia tahun ini, Latypov berkata, ia membawa makna istimewa kerana negara itu turut memperingati ulang tahun ke-80 pengakhiran Perang Patriotik Besar dan Perang Dunia Kedua.
Hubungan diplomatik antara Rusia dan Malaysia telah terjalin sejak tahun 1967, menjadikan tahun ini hampir genap enam dekad.
Dalam lawatan rasmi selama empat hari Perdana Menteri ke Rusia bulan lalu, Presiden Putin menyatakan bahawa hubungan dua hala antara kedua-dua negara berkembang secara progresif, dengan kedua-dua pihak menunjukkan minat yang mendalam untuk memperkukuh kerjasama secara lebih substantif dan telus.




