
KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) digesa memastikan aspek keselamatan negara tidak terjejas susulan penahanan lima pegawai kanan tentera, termasuk daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan kebimbangan berhubung tahap keselamatan negara ekoran penahanan tersebut.
“Perdana Menteri meminta Kementerian Pertahanan meneliti bagi memastikan aspek keselamatan tidak terjejas.
“Perkara ini akan diteliti oleh pihak kementerian, manakala siasatan SPRM mesti diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya pada sidang media mingguan Putrajaya, hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri sependapat bahawa siasatan yang sedang dijalankan SPRM perlu diteruskan sehingga selesai.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memberikan komitmen untuk menjalankan siasatan dalaman selepas proses siasatan SPRM diselesaikan.
Media sebelum ini melaporkan lima pegawai kanan ATM ditahan SPRM dalam satu operasi khas minggu lalu selepas disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan termasuk dadah.
Lima pegawai berkenaan, termasuk seorang berpangkat Leftenan Kolonel, ditahan sekitar Lembah Klang melalui Operasi Sohor yang digerakkan SPRM kerana dipercayai menyalurkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor.





