PUTRAJAYA – Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pertengahan November ini dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat diramal berlaku sehingga awal tahun depan di beberapa negeri.
Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang bagi November tahun ini hingga April 2026, berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim.
Ia termasuk NCEP Coupled Forecast System Model Version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre), World Meteorological Organization Lead Centre for Long-Range Forecast Multi-Model Ensemble dan beberapa model lain.
“Episod hujan lebat dijangka bermula di Kelantan dan Terengganu seawal November dan berkemungkinan berterusan pada Disember hingga Januari 2026.
“Keadaan sama turut berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
METMalaysia memaklumkan pada Februari 2026, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami keadaan itu sehingga Mac.
Tambahnya lagi, Indeks Nino Lautan (ONI) bagi kawasan pemantauan Nino 3.4 untuk tempoh Julai, Ogos dan September tahun ini menunjukkan nilai -0.3 darjah Celsius.
“Sementara itu, anomali suhu permukaan laut mingguan terkini yang berpusat pada 22 Oktober lalu mencatatkan nilai -0.6 darjah Celsius di kawasan sama.
“Suhu permukaan laut kini berada di bawah purata di sebahagian besar Lautan Pasifik dan corak atmosfera di kawasan tropika Lautan Pasifik adalah konsisten dengan keadaan La Nina.
Berdasarkan pemerhatian semasa, METMalaysia berkata, keadaan La Nina lemah sedang berlaku dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Februari 2026.
Menurutnya lagi, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.







