KUALA LUMPUR- Bekalan peranti perubatan negara kekal kukuh dan berada pada tahap terkawal walaupun berdepan kesan krisis tenaga global yang menjejaskan ketersediaan produk import berisiko tinggi di pasaran tempatan.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa pemantauan berterusan serta pelaksanaan langkah mitigasi dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi tanpa gangguan.
Dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memeterai persetujuan strategik dengan pihak berkuasa China untuk meningkatkan bekalan bahan mentah resin dan nafta bagi menyokong industri tempatan.
“Inisiatif ini bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia. Bekalan tambahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa,” menurut kenyataan itu.
Persetujuan tersebut dicapai menerusi perbincangan strategik yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif MDA yang juga Pengerusi Global Harmonization Working Party (GHWP), bersama Pengarah Pentadbiran Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai) serta Timbalan Datuk Bandar Pudong New Area.
“Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas komitmen padu dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan bahan mentah industri peranti perubatan serantau,” menurut kenyataan itu.
KKM menegaskan akan terus memantau perkembangan semasa secara rapi bagi memastikan pengagihan bekalan dilaksanakan secara cekap, berhemah dan berlandaskan keperluan klinikal demi kesejahteraan rakyat.






