PUTRAJAYA – Kerajaan sedang melaksana kajian terperinci dalam merangka mekanisme holistik dan komprehensif berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 terhadap golongan T15.
Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Shahrol Anwar Sarman berkata, kajian itu sedang dilaksana secara teliti oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memastikan penyasaran itu tidak memberi kesan kepada pihak tidak sepatutnya, khususnya kumpulan pertengahan.
“Kelompok yang mungkin sepatutnya dalam kategori 85 peratus (menikmati penyasasaran subsidi RON 95) namun ada termasuk dalam kalangan 15 peratus, yang tidak menerima subsidi, perkara ini sedang diperhalusi secara terperinci oleh Kementerian Ekonomi dan DOSM.
“Beri sedikit masa kepada pihak kerajaan untuk kita meneliti segala pandangan dan cadangan bagi kelompok T15 yang akan terlibat dalam penyasasaran subsidi RON95,” katanya pada Taklimat Khas Belanjawan 2025 bersama Kementerian Komunikasi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diajukan pertanyaaan langkah yang diambil kerajaan dalam menangani golongan T15 yang dilihat tidak berpuas hati dengan penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun depan.
Mengulas lanjut, Shahrol berkata, langkah penyasaran subsidi petrol RON95 untuk kumpulan T15 atau 15 peratus teratas dan warga asing adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan untuk memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang memerlukan.
Jelasnya, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi akan dikembalikan kepada rakyat terutama dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi impak besar kepada rakyat.
“(Dari segi nilai ambang dan mekanisme), itu kita akan pastikan bahawa 85 peratus yang terlibat tidak akan terjejas dengan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95. Kita jangka jika ia dilaksana, boleh menjimatkan sehingga RM6 billion ke RM8 bilion.
“Kita tidak mahu lagi menanggung golongan T15 ke atas kerana semua maklum banyak yang dilaporkan sekolah tidak diselenggara dengan cukup baik, hospital dan juga klinik kesihatan kekurangan peralatan. Kerajaan mahu memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan selayaknya,” katanya.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.
Anwar berkata, penyasaran itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli juga menjelaskan kerajaan kini sedang memperhalusi mekanisme untuk melaksanakan kaedah harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95.
Katanya, dua peringkat itu membabitkan mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan sebanyak 85 peratus mereka yang layak.




