
KOTA KINABALU – Majlis Belia Sabah (MBS) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk perbuatan buli melibatkan golongan muda khususnya di institusi pendidikan.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, budaya buli sama sekali tidak mencerminkan keperibadian dan budi pekerti masyarakat negeri ini.
Jelasnya, rakyat Sabah amat dikenali dengan kelembutan, sopan santun serta saling hormat-menghormati.
“Hakikatnya, perbuatan buli ini sangat tidak baik dan langsung tidak mencerminkan budaya kita di Sabah. Ia hanya merosakkan pembangunan sahsiah dan masa depan belia.
“Buli ini lahir daripada jiwa yang kacau dan tidak tenang. Ia bukan hanya berlaku kerana kurangnya pemantauan sekolah, tetapi berpunca daripada persekitaran keluarga itu sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Isnin.

Abqaree berkata, gejala buli sama ada secara fizikal, emosi mahupun buli siber hanya akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan serta menyuburkan generasi yang tidak berakhlak.
Justeru, MBS menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik dan memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dalam perlakuan negatif.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa pendidikan dan kasih sayang yang mencukupi di rumah adalah kunci utama membentuk jiwa yang sihat dan berakhlak.
“Kita perlu semai nilai kasih sayang, hormat-menghormati sejak dari rumah. Jika di sekolah ada masalah, ada guru kaunseling.
“Di luar, ada saluran seperti pihak berkuasa dan guaman. Buli bukan jalan penyelesaian,” ujarnya.
MBS turut menggesa agar semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat agar berganding bahu memerangi gejala buli demi menjamin masa depan belia yang lebih cemerlang, berakhlak dan berdaya saing.





