
KOTA KINABALU – Masyarakat diingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang perkataan secara verbal atau bertulis bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dalam komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebagai rakyat yang prihatin dan hidup dalam masyarakat majmuk, masyarakat perlu sentiasa peka dan sensitif terhadap perkara yang hendak diperkatakan.
“Baru-baru ini tular di media sosial berhubung isu perkauman yang dilihat semakin serius sehingga menyebabkan kekacauan dalam komuniti.
“Berpada-padalah kita dalam membuat komen atau posting di mana-mana ruang sembang mahupun secara bersemuka.
“Lidah kita mungkin tampak lembut tanpa tulang, tetapi tajamnya ibarat pedang yang mampu melukakan hanya dengan satu hayunan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa di Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu, pada Ahad.

Tambah Mustapha, sebagai pengguna media sosial, masyarakat bukan sahaja perli celik digital tetapi turut menjadi bijak agar pengaruh dan kesan negatif digitalisasi dapat diatasi dengan mudah.
“Pastikan kita tidak berkongsi mana-mana data peribadi kita secara terbuka yang akhirnya membawa padah kepada diri kita sendiri,” ujarnya.
Mengenai program Jiwa Komuniti MADANI, Mustapha berkata, ia adalah inisiatif yang signifikan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah.
Katanya, penganjuran program itu dapat mempengaruhi semangat persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan komuniti sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dengan semangat Malaysia MADANI.







