
SUKAU – Dakwaan Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor gagal dalam mentadbir negeri ini hanya tanggapan pihak lawan atau tidak suka kepada GRS-PH Plus.
Demikian dinyatakan Hajiji yang tegas kerajaan pimpinannya tidak gagal, sebaliknya banyak melakar kejayaan selain mentadbir dan mengurus Sabah dengan lebih baik.
“Kerajaan GRS-PH Plus telah berjaya meningkatkan hasil negeri melaksanakan pembangunan dan memberikan bantuan kepada rakyat termasuk meningkatkan bantuan untuk pelajar dari Tingkatan Lima dan Enam hingga ke peringkat universiti.
“Begitu juga kejayaan kerajaan dalam memeterai perjanjian dengan Petronas sebagai pencapaian besar.
“Jika ada yang menganggap kita gagal, itu hanya pandangan mereka yang tidak suka kepada kita,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, Sukau, Kinabatangan di sini, pada Sabtu.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat yakin bahawa rakyat akan memberi mandat kepada kerajaan GRS-PH Plus termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat tidak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang yang banyak bercakap tetapi tidak melakukan apa-apa.
“Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal-usul mereka dan Insya-Alllah kalau diberi peluang, kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan ini.
“Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS–PH Plus,” katanya.
Bercakap kepada media selepas itu, Hajiji menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Gagasan Rakyat dan parti komponen dalam kerajaan untuk terus membawa kebaikan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau juga yakin rakyat akan memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha membangun dan membawa pelbagai kebaikan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
Mengenai status Sukau sebagai daerah kecil, Hajiji menyatakan harapannya untuk melihat kawasan tersebut berkembang pesat khususnya dalam sektor pelancongan yang merupakan kekuatan ekonomi daerah ini.

Pada majlis tersebut, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, bantuan sekolah kepada pelajar, kerusi roda daripada Jabatan Kebajikan kepada penerima yang memerlukan dan kunci rumah SMJ kepada penerima yang layak.
Beliau juga menerima borang keahlian daripada mantan Timbalan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Nasrah, bersama 11 bekas Ketua Cawangan parti Bersatu.







