
SANDAKAN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM22 juta untuk nelayan di Sabah pada tahun ini.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, peruntukan itu termasuk elaun sara hidup yang memberi manfaat kepada kira-kira seramai 14,000 nelayan.
“Program inisiatif ini bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan nelayan di samping meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
“Peruntukan yang disediakan itu termasuk pembinaan jeti-jeti kecil dan kerja-kerja baik pulih sebanyak 50 rumah nelayan,” katanya selepas menyempurnakan Program Rahmah Mesra MADANI Ramadan bersama Nelayan PNK Libaran di Dewan Serbaguna Batu Putih di sini pada Rabu.

Sementara itu, Faiz juga mengingatkan para nelayan di Sabah agar tidak menyalahgunakan subsidi diesel yang diberikan kerajaan dan ia digunakan sepenuhnya untuk menangkap ikan sahaja.
“Kami (LKIM) mengambil berat dan serius tentang soal ketirisan minyak diesel ini.
“Sesiapa saja yang terlibat dalam penjualan minyak, kita akan ambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen atau menggantung penerimaan subsidi.
“Mana-mana jeti yang terlibat dengan ketirisan, kita akan tutup jeti jualan,” tegasnya.
Terdahulu, seramai 110 nelayan dan golongan asnaf di kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Libaran menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya sempena Program Rahmah Mesra MADANI Ramadan Pengerusi LKIM.

Program ini merupakan usaha LKIM untuk mendekati dan membantu masyarakat nelayan, terutamanya di Sabah.
Faiz berkata, bantuan yang disampaikan berupa bakul makanan dan duit raya bernilai RM100 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan bantuan berjumlah RM11,000.
Katanya, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat nelayan dan golongan asnaf serta memastikan kebajikan mereka terus terjaga.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin, terutama dalam situasi yang mencabar.
“LKIM berharap sumbangan ini dapat menambahkan keceriaan dan kegembiraan bagi mereka yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujar beliau.





