
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil di tapak cadangan pembinaan masjid di Jalan Masjid India dan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, memberi jaminan bahawa setiap langkah yang sedang dan bakal diambil berhubung cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik sebuah syarikat swasta yang sebahagian kecilnya menempatkan, adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, DBKL juga telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Jelasnya berkenaan penempatan lokasi baharu bagi pembinaan semula kuil tersebut, ia masih lagi dalam proses perbincangan dan akan mengambil kira persetujuan daripada pihak kuil dan komuniti masyarakat India di sana.
“Projek yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu merupakan cadangan oleh syarikat swasta berkenaan selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaan.
“Walau bagaimanapun, DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat, dan secara tidak langsung mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, proses pemindahan tersebut akan dilakukan secara telus dan adil, serta membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
“DBKL menghargai kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar, dan menyeru untuk terus mengekalkan keharmonian serta menghormati kepelbagaian agama di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman, K Barthiban Kanmani berkata, pihaknya dan komuniti Masjid India di sana, bersedia untuk berharmoni.
“Buat masa sekarang, kita ada buat perbincangan jadi saya pun nak minta juga biarlah ia dibina sebelah-sebelah (bersebelahan) tapi ia masih dalam perbincangan lagi.
“Saya pun bersetuju jugalah kalau bina itu kita belum dapat tahu kata putusnya kan jadi biarlah kita berharmoni bersebelah-sebelah pun saya bersetuju,” katanya.





