
SEMPORNA – Sebanyak 23 kompaun dkeluarkan terhadap bot penumpang atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu Maritim Malaysia Zon Semporna di perairan Tando Bulong, di sini, pada Rabu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Semporna, Leftenan Maritim Muhammad Haris Azmi berkata, operasi itu dijalankan susulan bot-bot penumpang yang menjadi pengangkutan utama di daerah ini.
“66 buah bot penumpang diperiksa, 23 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu satu per tiga dikesan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2022.
“Antaranya lesen tamat tempoh, nama nakhoda yang tidak sepadan dengan dokumen lesen, kegagalan pemilik bot memastikan penumpang memakai jaket keselamatan dan pemadam api di bot penumpang tamat tempoh,” katanya kepada media selepas Operasi bersepadu di Perairan Semporna.

Jelas Haris, operasi yang dijalankan waktu puncak khususnya pada waktu petang menyasarkan kawasan persimpangan utama laluan bot antara pulau-pulau menuju ke perairan Semporna.
Operasi selama dua jam bermula pukul 3 petang itu disertai lebih 15 pegawai dan anggota Maritim Malaysia Zon Semporna, Jabatan Imigresen, Pasukan Polis Marin serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Cawangan Semporna.






