PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya menunjukkan tanda-tanda peningkatan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur, namun pada masa sama meluahkan kebimbangan susulan kecederaan yang dialami penyerang termahal kelab, Alexander Isak.
Penyerang bernilai 125 juta pound (RM681.75 juta) itu membuka jaringan menerusi gol liga keduanya bersama Liverpool selepas dimasukkan pada separuh masa kedua, namun malangnya cedera apabila kakinya tersepit di antara kaki pertahanan Tottenham, Micky van de Ven yang cuba menghalang rembatannya.
Isak terbaring beberapa minit sebelum terpaksa dipapah keluar oleh dua pegawai perubatan Liverpool, dengan Slot mengakui naluri awalnya mengatakan kecederaan itu berkemungkinan serius, meskipun beliau cuba kekal optimis.
“Saya belum menerima sebarang maklumat lanjut, tetapi apabila seorang pemain menjaringkan gol kemudian cedera dan tidak kembali ke padang atau cuba kembali, itu selalunya bukan petanda baik.
“Saya tidak boleh mengesahkan apa-apa dari sudut perubatan, itu hanya berdasarkan naluri saya,” kata Slot.
Masalah Liverpool bertambah apabila Conor Bradley juga terpaksa dikeluarkan selepas hanya 45 minit beraksi akibat perlanggaran dengan Djed Spence dan tidak diturunkan pada separuh masa kedua, sebelum digantikan seketika oleh Isak.
Liverpool kelihatan hampir memastikan kemenangan apabila Hugo Ekitike menggandakan kelebihan, namun gol Richarlison pada minit ke-83 menghidupkan kembali harapan Tottenham yang sudah beraksi dengan 10 pemain selepas Xavi Simons dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.
Keadaan menjadi lebih buruk buat tuan rumah apabila kapten Cristian Romero menerima kad kuning kedua pada minit ke-93 selepas menendang Ibrahima Konate, meninggalkan Spurs dengan sembilan pemain.
Namun, Liverpool masih bergantung kepada aksi cemerlang penjaga gol, Alisson Becker, untuk memastikan tiga mata kekal milik mereka.





