
GAZA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa lebih 100 orang pesakit tahap kritikal akan dipindahkan dari bandar Gaza yang dilanda perang untuk menerima rawatan pada Rabu, lapor Anadolu.
“Esok (Rabu), kami merancang bersama rakan kongsi untuk melaksanakan ‘Med-evac’ (pemindahan perubatan) melibatkan lebih 100 orang pesakit, pesakit kritikal, keluar dari Gaza,” kata jurucakap WHO, Richard Peeperkorn pada taklimat PBB di Geneva.
Menekankan bahawa pesakit ini berada dalam senarai keutamaan Kementerian Kesihatan, Peeperkorn berkata, pesakit akan dikumpulkan di Hospital Gaza Eropah malam ini kerana mereka dijadualkan untuk dipindahkan ke lintasan Kerem Shalom pada pukul 6 pagi waktu tempatan.
“Kebanyakan pesakit akan pergi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kira-kira 13 pesakit selebihnya akan dipindahkan untuk menerima rawatan di Romania,” katanya.
Tambahnya, menurut rekod, sejak penutupan lintasan Rafah pada 6 Mei, hanya 282 pesakit yang telah berjaya dipindahkan yang mana sebelum tarikh tersebut jumlahnya lebih ramai iaitu hampir 4,700 orang pesakit.
Sementara itu, di antara 2 hingga 4 November, lebih 105,000 kanak-kanak bawah 10 tahun telah divaksinasi, dan hampir 84,000 kanak-kanak telah menerima Vitamin A sekaligus mencapai sasaran 88 peratus kanak-kanak Gaza berjaya menerima vaksinasi polio.

Peeperkorn menekankan bahawa akibat penangguhan vaksinasi polio di utara Gaza, iaitu kawasan di mana Israel telah melancarkan operasi ketenteraan pada awal Oktober, WHO pada mulanya menganggarkan sekurang-kurangnya 15,000 kanak-kanak tidak akan menerima vaksin.
Namun katanya, disebabkan oleh 150,000 orang telah dipaksa berpindah dari Gaza Utara ke bandar Gaza, sukar untuk benar-benar menganggarkan jumlah kanak-kanak yang mungkin terlepas.
Beliau berkata, pada fasa akhir kempen kedua di Gaza Utara bertujuan untuk mencapai sekitar 119,000 kanak-kanak bawah 10 tahun, menurut agensi PBB.
Fasa pertama kempen, yang berakhir pada 12 September, melibatkan lebih setengah juta kanak-kanak Palestin manakala fasa kedua kempen menganggarkan penglibatan 119,000 kanak-kanak dan dianggarkan 590,000 kanak-kanak di seluruh Gaza dijangka menerima dos kedua, menurut WHO.
Suntikan vaksin itu bertujuan untuk menghalang penyebaran virus polio yang mana sekurang-kurangnya 90 peratus daripada semua kanak-kanak di setiap komuniti dan kejiranan mesti divaksinasi, kata Peeperkorn, sambil menambah bahawa ia akan menjadi cabaran besar memandangkan keadaan semasa.
Setakat 5 November, 43,391 kematian warga Palestin akibat serangan berterusan rejim Israel pada Oktober tahun lalu, manakala 102,347 yang lain didapati mengalami kecederaan dan puluhan ribu lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan kemusnahan.






