
LIPIS – Kerajaan negeri akan meneruskan laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan program bantuan Bakti Negeri Pahang (BN Pahang), termasuk tuduhan peruntukan RM15,000 seminggu kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) disalah guna.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan dimuat naik di media sosial itu memberi gambaran seolah-olah bantuan kerajaan negeri tidak sampai kepada rakyat, sekali gus menjejaskan imej pentadbiran negeri.
“Apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan bakul makanan – BN Pahang – individu ini telah memuat naik satu hantaran di Facebook yang mendakwa wang RM15,000 ini dijarah oleh DUN dan penyelaras DUN.
“Ini seolah-olah menggambarkan bantuan kerajaan tidak sampai kepada rakyat,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Apresiasi Pahang 1st ‘Lipis Bertanjak’ di Dewan Residen Lipis. hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan membuat laporan polis kerana dakwaan itu adalah tuduhan berat iaitu ‘menjarah’ duit rakyat.
“Saya kira tidak kurang daripada 10 laporan polis telah dibuat berkaitan hantaran berkenaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun individu terbabit sudah memadam hantaran tersebut dan memohon maaf, tindakan undang-undang tetap diteruskan bagi mengelakkan budaya fitnah menjadi kebiasaan dalam politik.
“Kami tidak mahu budaya fitnah dahulu, kemudian minta maaf menjadi amalan. Sebab itu laporan polis tetap diteruskan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri terhadap tuduhan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap program bantuan kerajaan.
“Kalau kita berdiam diri, nanti rakyat akan anggap perkara itu benar. Jadi kita ambil tindakan supaya rakyat dapat menilai dengan jelas,” tambahnya.
Wan Rosdy turut mengesahkan, tindakan saman fitnah akan menyusul selepas ini terhadap individu terbabit.
Sebelum ini, seorang individu didakwa membuat hantaran di media sosial menuduh bantuan bakul makanan berkenaan disalah guna oleh penyelaras DUN, sebelum hantaran itu dipadam dan permohonan maaf dibuat.






