Pasaran gelap e-rokok jadi ancaman tersembunyi belia Sarawak

KUCHING – Ancaman pasaran gelap di Sarawak kini tidak lagi terhad kepada rokok tradisional, malah penyeludupan dan penjualan e-rokok atau vape haram muncul sebagai krisis baharu yang amat membimbangkan. 

Perkara ini menjadi antara topik tumpuan utama dalam sesi dialog bertajuk “Sarawak’s Illicit Trade: Drivers, Risks & the Cost of Prohibition” anjuran DayakDaily yang berlangsung pada Sabtu.

Timbalan Pengarah (Bahagian Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Abang Zamari Abang Nazarin menyifatkan pasaran e-rokok haram ini sebagai sempadan baharu ancaman atau pasaran gelap yang sedang pesat membangun. 

“Apa yang lebih merisaukan, pertumbuhan pantas pasaran tanpa kawalan ini sangat didorong oleh permintaan tinggi daripada golongan belia,” ujarnya.

Tambah beliau, penularan produk vape haram di negeri ini terus menjadi isu kritikal, yang dibuktikan menerusi laporan operasi pembanterasan secara kerap oleh pihak berkuasa ke atas sindiket berskala besar.  

Dari sudut operasi, katanya lagi, ekosistem pasaran gelap ini dilihat menggunakan taktik yang lebih moden bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mendekati sasaran pengguna mereka. 

“Pengedaran e-rokok haram ini digerakkan secara aktif melalui tiga saluran utama, iaitu kemasukan menerusi bungkusan import (parcel), jualan secara meluas di platform media sosial, serta penjualan di kedai yang mencampurkan produk patuh cukai dengan produk haram.

“Pendekatan ini malangnya menjadikan peranti berkenaan sangat mudah diakses, terutamanya oleh golongan remaja.  

Kesan daripada lambakan produk yang tidak dikawal selia ini membawa risiko yang amat besar kepada kelestarian kesihatan awam. 

Tambah beliau, keadaan ini menjadi bertambah parah dengan kewujudan produk vape haram yang berpotensi dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah, sekali gus mencetuskan desakan pelbagai pihak agar langkah kawal selia yang lebih ketat diambil, termasuk pertimbangan untuk mengharamkannya secara menyeluruh. 

“Namun begitu, kajian global menunjukkan dasar larangan secara pukal atau blanket ban dikhuatiri boleh membawa kesan sebaliknya.

Beliau menjelaskan ia berisiko memacu permintaan ke pasaran bawah tanah, lantas meningkatkan lambakan produk tidak selamat yang lebih mudah dibeli oleh golongan rentan termasuk kanak-kanak bawah umur.  

Oleh itu, katanya, jalan penyelesaian kepada kemelut ini menuntut pemahaman serta kerjasama erat daripada seluruh komuniti. Isu ini memerlukan pendekatan pengurangan kemudaratan yang mengambil kira aspek sains dan sosiologi demi melindungi kesihatan kumpulan yang berisiko. 

Pihak Kastam turut menegaskan bagi mendepani cabaran perdagangan haram yang bersifat bersistem ini, pelaksanaan penguatkuasaan yang bersepadu dan menyeluruh.

Masyarakat diseru untuk berganding bahu membanteras isu ini dengan menolak pembelian produk vape haram demi membina persekitaran yang lebih sihat dan selamat demi generasi akan datang.

Related Posts

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

MUKAH – Upacara tradisi Seraheng Kakan terus menjadi pembuka tirai utama Pesta Kaul masyarakat Melanau, dengan peningkatan kehadiran pelawat yang sekali gus merancakkan semula sektor ekonomi dan perniagaan tempatan. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

BETONG – Selepas 16 tahun menyepi, kemeriahan sorakan di tebing Sungai Layar kembali bergema menerusi penganjuran Regatta Betong 2026 yang menyasarkan pemerkasaan warisan budaya serta pemangkin ekonomi setempat. Acara sukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎