
KOTA KINABALU – Perancangan jangka pendek bagi menangani masalah bekalan air tidak stabil di Taman Ujana Kingfisher akan dilaksanakan segera, termasuk penghantaran lori tangki bagi mengisi tangki imbangan (balancing tank) R13 sebagai langkah sementara menstabilkan bekalan kepada penduduk terjejas.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan bekalan air di tangki utama tersebut mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di taman berkenaan dan juga warga Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Daripada penerangan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tadi, ada beberapa inisiatif yang perlu dibuat, yang pertama, Jabatan Air kena pastikan bekalan R13 mencukupi untuk kegunaan UMS dan sekitarnya, itu yang paling utama.
“Yang kedua, untuk Taman Ujana Kingfisher ini, pihak Parlimen membuat persediaan dengan JANS supaya kalau ada keperluan, kita akan bantu menghantar lori tangki untuk mengisi tanki imbangan supaya ia boleh di pump ke storage tank dan bekalan air ini akan disalurkan ke lorong-lorong taman yang selalu tidak ada air.
“Ini penyelesaian untuk jangka masa pendek, kita berusaha, tetapi yang paling utama ialah JANS kena pastikan bekalan air R13 itu mesti mencukupi. Kalau tidak, kita juga tidak dapat membuat lebih daripada itu,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Taman Ujana Kingfisher, di sini pada Sabtu.

Dalam masa sama, Mustapha turut membangkitkan aduan penduduk mengenai peningkatan mendadak bil air yang disifatkan tidak selari dengan penggunaan biasa.
“Para penduduk juga membuat aduan bil mereka tiba-tiba naik, jadi kita minta, kalau mereka dapat kemukakan bukti, sebelum ini bil air mereka konsisten dalam nilai yang sama tetapi tiba-tiba ada peningkatan mendadak, mereka kena buktikan.
“Kemungkinan yang berlaku mungkin disebabkan oleh angin, bukan air, di mana angin yang menggerakkan meter, itu kemungkinan yang berlaku, jadi kita amat berharap JANS dapat melihat perkara ini supaya tidak membebankan pengguna.
“Sudahlah kita tidak dapat bekalan air, tetapi tiba-tiba bilnya melambung naik,” tegasnya.
Menurut Mustapha, pendekatan turun padang secara bersasar akan diteruskan oleh pihaknya dengan membawa agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu setempat secara terus di lapangan.
“Sekarang ini kita akan bergerak bergantung kepada lokaliti, contohnya, hari ini kita bawa JANS memandangkan di sini menghadapi masalah bekalan air, ianya akan diadakan secara berkala juga kita akan pergi dari taman ke taman untuk melihat masalah setempat.
“Kita juga akan membawa agensi yang berkaitan terutama DBKK, Jabatan Pengairan dan Saliran, sekiranya menghadapi masalah elektrik, kita bawa SESB dan juga yang lain. Itu memang kita buat secara berkala.

“Kita guna sekarang ini bukan lagi pendekatan bermesyuarat, tapi kita hadir ke lokasi, bawa agensi dan kita bawa penduduk sekali untuk kita berbincang, penduduk luahkan masalahnya, agensi akan memberi penerangan dan kita di pihak Parlimen akan bantu di mana kita boleh mempermudahkan urusan-urusan ini dan kalau memerlukan dana, kita juga akan guna dana Parlimen mengikut keadaan tertentu supaya mempermudahkan urusan yang mungkin mengambil masa,’’ kongsinya.
Dalam pada itu, Mustapha turut memohon maaf bagi pihak Parlimennya dan memohon kesabaran penduduk serta memberi jaminan usaha berterusan akan dilaksanakan bagi menstabilkan bekalan air di kawasan terjejas.
Untuk rekod, penduduk di taman berkenaan dilaporkan menghadapi gangguan bekalan air sejak beberapa minggu lalu, dengan rekod terdahulu menunjukkan masalah sama berlarutan hingga lebih sebulan.
Hampir 30 penduduk Taman Ujana Kingfisher hadir dalam pertemuan bersama-sama Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) bagi meluahkan masalah yang dihadapi oleh pihak mereka.






