PUTRAJAYA – Rakyat perlu memahami bahawa Malaysia adalah negara yang mengamalkan perdagangan terbuka dan terdedah kepada kesan ketidaktentuan ekonomi dunia, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, katanya, mengamalkan perdagangan terbuka mempunyai kelebihan apabila Malaysia menjadi antara 20 negara perdagangan terbesar di dunia.
“Oleh itu, sebagai sebuah negara perdagangan, hasil kita sebenarnya bergantung kepada barangan dieksport sama ada elektronik, sawit, petroleum dan sebagainya.
“Kita akan terus terdedah kepada perkara yang berada di luar kawalan kita,” katanya selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Rafizi mengulas demikian selepas ditanya sama ada ekonomi Malaysia akan terjejas ekoran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menjelaskan walaupun Malaysia tidak ada kaitan secara terus dengan isu kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, ekonomi Malaysia boleh dipengaruhi kerana mengamalkan perdagangan terbuka.
“Contohnya, peperangan di Ukraine dan Gaza (Palestin) akan memberi kesan. Terbaharu, serangan Israel ke atas Lubnan, kemudian serangan balas Iran ke atas Israel dan sekarang dunia sedang menunggu apa tindak balas Israel.
“Setiap kali ada pergolakan geopolitik, pengurus dana di seluruh dunia perlu ambil tindakan untuk melindungi pelaburan mereka.
“Apabila ada konflik, amalan biasa pengurus dana ialah mereka akan memindahkan wang dari instrumen pelaburan sedia ada kepada instrumen tradisional, konvensional dan paling selamat seperti emas,” katanya.






