
KOTA KINABALU – Kerjasama rapat antara pimpinan negeri dan penjawat awam berjaya menghasilkan kejayaan khususnya dalam proses pemulihan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata selaku tenaga yang menggerakkan jentera kerajaan, penjawat awam adalah nadi utama kerajaan, pelaksana segala dasar dan program pembangunan yang ditetapkan.
“Tanpa penjawat awam dari pelbagai sektor selalu pelaksana dasar dan urus tadbir sistem penyampaian, urusan pentadbiran akan pincang, rakyat dan negeri akan rugi serta kerajaan akan menerima padah akibat ketidakcekapan atau lemah dalam pentadbiran.
“Saya tekankan betapa pentingnya nilai-nilai integriti dalam diri setiap penjawat awam, kerana nilai murni itu akan menjadi benteng diri daripada terjerumus ke dalam lembah kehinaan dan kesusahan akibat salah laku, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
“Anggota penjawat awam memikul amanah dan tanggungjawab besar yang wajib dilaksanakan dengan hati yang ikhlas, jujur dan insaf, maka menjadi obligasi untuk kita menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaiknya tanpa memikirkan kepentingan diri dan keuntungan daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, penjawat awam yang berjawatan tinggi, sama seperti ahli politik sentiasa menjadi tumpuan dan pemerhatian orang ramai.
“Jadi kena berhati-hati dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Dalam era yang dikuasai kemajuan teknologi, setiap langkah dan tutur kata kita mungkin didengar atau dirakan tanpa kita sedari, semakin berleluasa menceroboh privasi kita.
“Dalam era moden yang serba canggih, kita wajib berhati-hati dan berwaspada agar tidak terperangkap dalam situasi yang boleh mengaibkan kerana jika musuh marah, kemarahannya boleh disiarkan secara ‘live’ melalui TikTok.
“Jika mengkritik atau membenci, itu boleh ditularkan dalam media sosial hingga dunia dapat menyaksikannya dan ini yang di tiru oleh golongan anti kerajaan, terutamanya parti pembangkang.
“Ahli politik lebih cenderung diperlekeh, diejek malah dimaki dan kadangkala dengan video berunsur fitnah dan tohmahan untuk memperdaya, mengaburi mata rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menegaskan agar penjawat awam lebih berhati-hati dengan informasi yang diterima, perlu pengesahan, kesahihan dan tapisan sebelum mempercayai atau menyebarkan di media sosial.






