
KEPELBAGAIAN kaum yang wujud sejak berabad-abad lalu perlu terus dilihat sebagai asas penyatuan Malaysia, bukannya ancaman, tegas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
“Negara ini bukan bermula dari kosong. Kita sudah melalui 67 tahun dan insya-Allah, Ogos dan September ini kita menyambut ulang tahun ke-68. Inilah perjalanan sebuah negara bangsa, dan kita bersyukur kerana mampu bertahan sehingga kini,” katanya dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ismail berkata, asas pembentukan negara Malaysia lahir daripada pengurusan kepelbagaian kaum sejak sebelum merdeka lagi.
“Ketika mahu merdeka, perkara utama ialah menentukan wilayah serta siapa yang dikatakan warganegara.
“Seawal kurun ke-15 lagi, kepelbagaian sudah wujud dengan adanya orang Cina, Arab, India, Parsi dan etnik peribumi. Itulah realiti kita membentuk sebuah negara,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa sejarah kenegaraan tidak boleh dipisahkan daripada proses penyatuan wilayah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menggabungkan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan.
“Daripada negeri-negeri Selat, bersekutu, tidak bersekutu, seterusnya MA63 menyatukan kita dengan wilayah Borneo Utara. Inilah perjalanan panjang yang membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan wilayah menjadi asas kepada penyatuan Malaysia,” jelasnya.
Tegasnya, kekuatan Malaysia terletak pada cara rakyat menguruskan kepelbagaian tersebut.
“Kepelbagaian ini bukan satu ancaman ataupun suatu masalah yang menyebabkan isu perkauman terus dibangkitkan hari ini. Sebaliknya kekuatan kita ialah bagaimana kita menguruskan kepelbagaian ini,” katanya.
Tambah Ismail, media sosial juga memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kenegaraan, khususnya apabila golongan berpengaruh menggunakan platform itu untuk menyebarkan mesej positif.
“Dalam media sosial, suara-suara positif tentang kenegaraan sering dilabel sebagai pembodek.
“Inilah cabaran yang perlu kita perbetulkan. Media sosial adalah realiti, tetapi bagaimana kita menggunakannya akan menentukan masa depan negara bangsa ini,” katanya.







