
KABONG – Beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan dan diserahkan kepada penduduk dalam satu program yang berlangsung pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan digunakan sebaiknya oleh komuniti setempat,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi pelaksana dan kontraktor yang telah memastikan projek disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi ditetapkan.
Jelasnya, kerjasama erat antara semua pihak menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan projek RTP di kawasan tersebut.
Antara projek yang telah siap ialah naik taraf Dewan Terbuka Rumah Nyandang di Ulu Roban, naiktaraf Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat, pembinaan baharu pangkalan bot nelayan di Sungai Peruntung, Nyabor serta naiktaraf beberapa kemudahan lain seperti masjid, surau dan rumah serbaguna di Kabong.
Kesemua projek ini dilihat mampu menyediakan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk luar bandar sekali gus memperkukuh pembangunan komuniti setempat.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree Yunus; Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Muhammad Khairil Nidzam Hamidon serta kontraktor yang terlibat.





