
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden runtuhan yang membahayakan keselamatan penduduk.
Unit Komunikasi Korporat dan Media Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan, kelulusan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai langkah segera memastikan keselamatan komuniti setempat terus terpelihara.
Kejadian yang berlaku pada 22 Mac lalu yang menyebabkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika kunjungan Aidilfitri menuntut tindakan pantas bagi mengelakkan risiko berulang.
Menurut kenyataan tersebut pada Jumaat, peruntukan tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat, sekali gus menggantikan struktur lama yang uzur dan berisiko.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, keputusan pantas ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk setempat serta keutamaan yang diberikan kepada aspek keselamatan awam.
Langkah tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur inklusif, khususnya di kawasan penempatan pesisir yang bergantung kepada titian sebagai laluan utama harian.



